$%HUBUNGAN keroh yang tercetus antara penerbit dan pelakon Hans Isaac dengan pengacara terkenal Datuk AC Mizal kini pulih selepas lapan tahun.
Menurut Hans atau nama sebenarnya Geral Hans Isaac, perselisihan faham yang berlaku sebelum ini perlu dilupakan sementelah usia mereka kini semakin meningkat.
"Kami tidak bertegur selama lapan tahun sejak pementasan Cuci The Musical 2 dipentaskan pada tahun 2010. Tetapi kini saya gembira kerana kami telah berbaik semula," kata pelakon berusia 44 tahun ini.
Hans dan AC sebelum ini bermasam muka berikutan tindakannya memecat AC yang melanggar kontrak selama tiga tahun di bawah produksi teater miliknya.
Bercerita lanjut, akui Hans, dia menganggap perkara yang berlaku sebagai tindakan yang tidak matang.
"Apabila usia meningkat, saya sendiri sedar supaya lebih terbuka untuk memaafkan dan tidak bermusuhan dengan sesiapa pun," katanya lega kerana AC bersetuju melibatkan diri dalam pementasan teater adaptasi filem Baik Punya Cilok yang akan dipentaskan 25 April hingga 1 Mei nanti di Istana Budaya (IB).
Tambah Hans, dia juga mendapat sokongan dan nasihat daripada Afdlin Shauki dan Awie yang turut terlibat menjayakan teater itu mengenai hubungannya bersama AC.
"Apabila Afdlin memberitahu saya mengenai idea untuk mementaskan Baik Punya Cilok ke teater, saya terus bertanya pendapatnya untuk berbaik semula dengan AC dan mengajaknya bersama-sama menjayakan pementasan ini.
"Afdlin kemudiannya sangat bersetuju dan berkata, buat apa diteruskan lagi apa yang berlaku, lagipun kami masing-masing semakin berusia," katanya mahu mengimbau kenangan filem itu bersama peminat menerusi teater.
Terharu dan bimbang
Sementara itu, pengacara Maharaja Lawak Mega (MLM), AC memberitahu, dia sangat terharu kerana Hans sudi bersikap merendah diri dan berbaik dengannya.
"Dia telah menghubungi saya dan meminta maaf atas tindakannya dahulu. Bagi saya apa yang dilakukannya perlu dipuji kerana dia ikhlas mahu memperbaiki persahabatan kami," kata pemilik nama sebenar Mizal Zaini ini.
Dalam pada itu, pelakon filem Zombie Kampung Pisang itu pernah memikirkan perkara sama, namun bimbang jika Hans menolak keinginannya untuk berbaik semula.
"Saya sendiri sudah bersedia menjernihkan hubungan kami. Jadi apabila dia meluahkan hasratnya, sudah tentu saya tidak menolak.
"Bahkan saya bersyukur kerana dia rasa apa yang saya rasa," katanya.
Kata pelakon berusia 43 tahun ini, apa yang berlaku banyak mengajarnya erti pengorbanan dan persahabatan.
"Saya sebenarnya rindu nak bekerja dengannya. Kami pun umpama adik-beradik sebelum ini. Harapan saya, kerjasama kembali kami menerusi Baik Punya Cilok nanti menjadi sesuatu yang sangat berharga dalam hubungan kami," katanya.
sumber asal
Tulisan Terkait